Nasyid

September 25, 2012

SUDAH BERPINDAH

Assalamualaikum.

Saya sudah berpindah ke
http://hisham-ahmad.blogspot.com/

Kunjungan anda amat dihargai.

Terima Kasih.

Hisham Ahmad

November 18, 2010

PANDANGAN YANG TIDAK ADIL?

Saya adalah penggemar idea-idea  ‘sunnah’ Dr. Asri. Banyak ilmunya  mengenai amalan sunnah dan teguran-teguran kepada pengurusan pejabat agama,  bahagian zakat dan lain-lain sangat dekat dengan jiwa saya. Saya percaya ramai golongan muda berada pada pihaknya. Seakan-akan beliau mewakili suara ‘muda’ yang menyuarakan rintihan mendambakan Islam yang original daripada rasulullah sallallahi alaihi wasalam dan yang tidak dapat mengelak dari merasa meluat dengan kualiti pengurusan dan perkhidmatan agama di negara ini.

Namun pandangan saya terhadap pandangan Dr Asri agar DSAI berhenti; adalah pandangan yang tidak wajar dan keterlaluan, tidak diperlukan pada masa ini. Ya benar, itu pendapatnya. Pendapatnya. Dia berhak kepada pendapatnya. Ini pula  pendapat saya terhadap pendapatnya.  

Saya sama sekali bukan ahli PKR atau penyokong Anwar. Namun saya mengakui kewibaannya dan nilai pengalaman deritanya selama dianiaya dan dipenjarakan dan kekukuhan jiwanya dengan terus  berjuang.

Dr. Asri mengakui bahawa dia risau kesan atas pandangannya. Anggapannya ialah Dr. Asri membayangkan kesan buruk yang boleh dijangka. Tetapi hairannya, ia tetap diteruskan. Saya memerhatikan kepada hujah dan asas kepada pandangannya. Saya dapati ia suatu pandangan yang tidak diasaskan kepada alasan yang sedikit dan kelihatan tidak bersungguh-sungguh kerana itu pada saya ia tidak begitu bermerit. Namun kerana ia dari Dr. Asri maka ia menarik perhatian ramai.


Banyak pihak telah menjawab dan mengulaskan tentangan mereka kepada alasan kepada pandangan Dr Asri. Sekalipun mereka itu mungkin orang kuat DSAI, saya dapati hujah mereka sangat bermerit.

Saya tidak pertikaikan apa jua niat Dr Asri. Ikhlas katanya. Beliau sahaja manusia yang tahu. Kekecewaan saya ialah apa sebenarnya manfaat yang cuba diraih daripada pandangannya. Kebingungan saya pula iala apa ‘sunnah’ yang cuba ditonjolkan? 

Beginilah ringkasnya:-

(1)Dr Asri mengharapkan orang berbaik sangka dengan (niat) pandangannya tetapi dia juga seperti telah menduga orang akan buruk sangka. Saya ada membaca penulisan ustaz Zaharuddin akan kisah nabi yang memberi pengajaran agar jangan membuat sesuatu yang menyebabkan orang buruk sangka kepada kita. (Kisah nabi sallallahi alaihi wasalam berjalan bersama salah seorang isteri baginda dalam keadaan suasana gelap dimana seorang sahabat ternampak dan sedikit tertanya (curiga?) lalu nabi segera menegurnya dan memberitahu bahawa perempuan itu adalah isteri baginda. …. Rasanya ramai dah tahu cerita ini.

(2) Dalam politik, “Its all about perpesctive”. Pandangan Dr Asri adalah dari Perspektif dia. Bagaimana perspektif orang lain terhadap pandangan dia? Pandangan sebegitu ditakuti akan menjemput rasa buruk sangka oleh ramai orang. Namun saya tidak buruk sangka. Saya tidak bersetuju kerana merasakan ia tidak adil.

(3) Pandangan Dr Asri ikhlas. Tiada keperluan untuk pertikaikan. Tapi ia pandangan ‘berbau’ politik. Ia sangat terdedah kepada pelbagai perspektif pandangan dan penerimaan orang lain. Jika dasar alasannya tidak kuat atau alasan yang menafikannya sama kuat, atau banyak andaian pro dan kontranya atau kerana ia sangat dirasakan tidak wajar datang dari tokoh agama pejuang  sunnah, maka kesan negatif pasti berlaku dan telah berlaku.

(4) Sebagai seorang pencinta sunnah, saya kecewa kerana nasihat pengunduran DSAI itu suatu yang saya tidak nampak ‘sunnah’ nya, bahkan saya melihat mafsadahnya mengatasi maslahahnya. Entahlah. Alasan Dr Asri walau ada kebenaran (hanya satu aspek) tetapi tidak mewajarkan tujuan padangannya (aspek yang lain).   

Inilah antara perspektif prejudis atau prasangka buruk yang boleh timbul :-

(1) Tentu kita percaya orang sebijak Dr Asri akan menjangkakan pihak yang tidak suka atau mahu menumbangkan DSAI akan menggunakan ‘kaw-kaw’ pandangannya. Mungkin ditambah ‘sos cili’, akan menjadikan ‘pedas dan panas’ lagi. Tambah ‘meriah’ jika pihak yang menikmati manfaat dari pandangan Dr Asri ialah pihak yang menguasai segala macam media utama negara. Di satu pihak lain pula, yakni yang di sebelah DSAI merasa amat kecewa dan tidak bersetuju lalu mereka menyuarakan tentangan mereka. Mungkin sebahagian mereka berprasangka buruk, marah atau sangat marah. Ada yang ingin meluahkan secara keras namun tidak sampai kepada penghabaran ramai kerana tidak dilaporkan.
  
(2) Dalam pada itu sebahagian rakyat kecil mungkin tidak bersetuju dengan pandangan Dr Asri atas sebab merasa pandangan itu tidak adil dan saya salah seorang yang terpanggil untuk menyuarakannya.  

(3) Pihak yang mengatakan bahawa ia menyatakan sesuatu pandangan itu secara ikhlas bukan mewakili kepentingan sesiapa dan dia tidak dipergunakan. Namun bukankah pihak yang  merasa untung dan mendapat manfaat akan sentiasa boleh memberi ganjaran…. Manfaat boleh secara langsung … dan boleh datang secara tidak langsung… Jika ia tidak memberi manfaat pasti akhbar arus perdana tidak terkinja memaparkannya.

(4) Telah diketahui ramai, sebahagian mereka yang dipercayai dari golongan sunnah telah menyertai ulama muda UMNO, lalu kemana fikiran politik boleh membayangkan…  kekaitan hubungan dan manfaat…

(5) DSAI dan PKR sedang diuji dari segala sudut tetapi perlu ingat, pihak mana yang paling sentiasa mengasak ujian tersebut… dalam keadaan menguasai segala bentuk kemudahan, kewangan dan penyebaran maklumat…   adil dalam persaingan??

(6) DSAI telah menghadapi dakwaan kes l*wat buat kali ke2. Saya merasakan sudah terlalu ramai orang mulai merasa curiga kejujuran DSAI. Saya mendengar sendiri perbualan antara kakitangan suatu pejabat sambil membelek akhbar Metro… Itulah perspektif manusia. Saya juga pernah menyaksikan sendiri seorang pensyarah memburuk DSAI dalam hal ini. Saya hanya mahu bersikap adil. Saya diajar oleh ilmuan agama dan orang seperti DR Asri dan saya yakin dengan ilmu saya bahawa dalam hal hukum syarak, dakwaan kes liwat ini pasti gugur tanpa saksi-saksi langsung.  Sebaliknya , yang patut berjalan, ialah kes qazaf. Tidak perlu lah dibicarakan dari sudut kepeningan dalam kes ini dari sudut sivil. Bacalah sendiri. Saya juga jelas faham dengan hikmah dan kelebihan kenapa Allah Yang Maha Adil dan Bijaksana menetapkan kedudukan bukti sebegitu ketat. Kes ini sekadar menyerlahkan lagi kepatutan hukum dan undang-undang Allah. Masya Allah dasyatnya keaiban yang diserlah daripada kes ini apalagi yang tertanggung pada tuan punya badan… Mereka yang jahil agama atau bermotif lain mungkin melihat keadilan dari sudut berbeza atau memperlekehkannya … Namun saya merasa lega dan selamat dengan keyakinan pemahaman saya apabila saya membaca ulasan Dr Yusuf Qardawi dalam kes ini.  Perspektif umum terhadap kes ini ialah ada kekaitan dengan politik. Lalu fahamlah apa maksud saya.

(7) Kepada sebahagian masyarakat, impak yang dibawa DSAI masih besar dan masih relevan. DSAI masih dilihat satu-satu watak yang mampu mewakili 3 parti dari pihak yang sedang menyaingi pihak pemerintah. Belum ada pengganti dari PKR yang dilihat boleh ambilalih peranan yang sebegitu besar, pastinya tidak sekarang. Tidak semasa pandangan Dr. Asri dibuat. DSAI belum lagi menjadi ‘dinasour’ untuk dipupuskan.

(8) DSAI telah membuktikan kerelevannya pada PRU yang lepas. Ingat lagi tsunami yang berlaku. Saya tadi terpegun melihat jadual kuliah di suatu surau di Selangor yang sebahagiannya oleh tokoh agama yang sekian lama telah dipinggirkan (ingat telah dipupuskan). Tajuk kuliah agamanya merujuk kepada kitab bukannya politik. Kebebasan dalam menyampai ilmu agama sebegini tanpa ‘gam’ atau sekatan tauliah adalah suatu nikmat. Dr. tentu lebih mengerti.  Bagaimana Dr Asri tergamak menyuara keluar pandangannya itu sedang PRU yang makin menghampiri  adalah waktu ujian sebenar bagi membuktikan kerelevanan DSAI. Sabar sat lah simpan dulu pandangan itu. Sabak sat…

(9)  Sekadar berpandukan kekecohan yang berlaku dalam parti…  biasalah … itu tanda rasa bahang kuasa sedang menguji mereka. Biarlah PKR urus sendiri ‘proses penapisan dan penyulingan’. Sekalipun ada yang membuat tentangan dalaman….  Ia suatu ujian untuk DSAI menyelesaikan masalah dalaman partinya. Adalah pelik untuk seorang tokoh agama yang mendakwa neutral untuk memberi pandangan agar pemimpin utama satu parti … berundur. 

(10)              PKR adalah rakan baiah PAS. Dr Asri sendiri menghadiri majlis perhimpunan mereka, apa tah… lupa saya, yang mana kelilingnya penuh dengan orang berbaju, bersongkok dan berjubah serba putih yang dipercayai mencintai Islam dengan cara dan wadah yang mereka yakini benar. Tidakkah mereka ini nampak lebih berusaha ke arah reda Allah dari pihak yang lain? 

(11)              Padang Persaingan yang DSAI  hadapi adakah adil? Mungkin kita kata kita bersifat neutral,  kadangkala kita sentuh sini sikit, sana sikit tetapi ukur juga kesannya. Disebabkan kerana sentuh sini, manfaat sikit, tapi kerana pasaran persaingan yg tidak adil…. mudaratnya sangat buruk. Berbeza sangat sebaliknya bagi pihak yang satu lagi. Ukurlah berdasarkan ukuran awlawwiyah… ukurlah juga dengan ukuran ketidakadilan pasaran media. Banyak sangat keburukan besar yang berlaku dalam negara ini pada pihak yang memegang kuasa, yang lebih utama untuk diketengahkan… yang memerlukan sentuhan sunnah.. yang walaupun ia ada dilakukan, ia jauh dari mencukupi …   

(12)              Saya ingin menjadi pencintai sunnah nabi… pencintai Islam… saya suka banyak tafsiran Dr Asri dalam memahami sunnah nabi. Namun ada juga yang saya masih belum dapat bersetuju (mungkin belum mengetahui hujah penuh) namun saya mendiamkan dulu. Cuma kali ini saya merayu untuk menyatakan ketidaksetujuan dan kekecewaan saya dengan pandangan beliau.

(13)              Maafkan saya Dr. Asri. Saya tidak dapat memahami sifat ‘sunnah’ dari pandangan itu, saya tidak nampak sifat ‘awlawiyah’ pandangan itu dan saya mendapati mafsadahnya melebihi maslahahnya- sekurang-kurangnya dari perspektif keadilan.

(14)              Percayalah saya tak suka untuk berbeza pandangan dengan tokoh seperti Dr Asri. Namun kali ini izinkan saya. Sebagai muslim, saya memohon maaf agar ukhwah terus terpelihara. 

November 17, 2009

Bahtera Dr Asri akan tenggelam atau ... (Part 1)

Yang Mana Satu. Bahtera Dr Asri akan tenggelam dalam badai ribut taufan yang melanda atau akan megah bertahan sehingga dinaiki sekian ramai manusia yang dahagakan perubahan....   

Kes Dr Asri akan disebut esok. Kata Malaysiakini, pengikut Dr Asri akan memberi sokongan. Sumber tak rasmi pula ada mengatakan pendakwaan akan diteruskan. Maknanya bahang kehangatan akan terus terasa...

Marilah kita menilai sedikit dari sudut teori keadilan mudah supaya yang menyokong (Dr Asri) biar dengan kefahaman jangan nanti sokongan membawa rebah.... manakala yang tidak menyokong biar juga dengan kefahaman supaya tak berada di pihak yang cenderiung kepada yang salah.


November 15, 2009

KEUTAMAAN DALAM MENG “INFAQ”


KEPADA USAHA DAKWAH YANG TIDAK BERMOTIFKAN
KEUNTUNGAN ATAU PERNIAGAAN;

[KEPENTINGAN MEMAHAMI KEUTAMAAN TUGAS DALAM KEHIDUPAN UMAT ISLAM]- MENGIKUT PEMIKIRAN PRESIDEN ULAMA DUNIA, DR. YUSUF QARDHAWI.



Fiqh al-Awlawiyyat ini ialah fiqh urutan keutamaan yang memerlukan kita mengetahui perkara yang mesti didahulukan apabila melaksanakan sesuatu perkara dalam kehidupan kita. Dengan kata lain, tidak mengemudiankan perkara yang sepatutnya didahulukan dan tiada mendahulukan perkara yang sepatutnya dikemudiankan. Lanjutannya, nilai-nilai akhlak mulia, hukum-hakam, kewajipan-kewajipan agama adalah berada pada peringkat dan urutan kedudukannya yang berbeza. Di antara perkara tersebut ada yang besar, penting dan utama dan ada pula yang kecil, ringan dan kurang penting. Ada yang merupakan perkara asasi, ada yang perkara cabang (furu’), ada perkara rukun, selainnya merupakan perkara pelengkap dan begitulah sebagainya.


Kefahaman ini juga memerlukan supaya kita lebih menumpukan serta berusaha ke arah sesuatu itu lebih daripada perkara yang lain. FA ini juga membawa maksud sesuatu yang sewajarnya didahulukan hendaklah didahulukan dan jika ia sewajarnya dikemudiankan mestilah dikemudiankan. Sesuatu yang kecil tidak perlu diperbesarkan dan sesuatu yang penting tidak boleh diabaikan. Setiap perkara mesti diletakkan di tempatnya dengan seimbang dan tepat. Segala sesuatu mesti diletakkan pada kedudukan dan tempatnya secara adil dan sesuai (sudah tentu) mengikut syariat Islam. Kefahaman ini amat penting kerana ia dapat memberi alternatif apabila menentukan sesuatu perkara apabila ia bertembung dengan kebaikan atau kejahatan.


Kajian yang bersumber utamakan al-Quran dan Sunnah Rasul Sallallahu alaihi wasalam (s.a.w) ini sangat penting dan relevan kerana melihat kepada konteks sekarang, umat Islam tidak dapat membezakan keutamaan tugas dan tanggungjawab pada sesuatu masa dan tempat. Umat Islam telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka mengikut urutan dan prioriti keutamaan tugas-tanggungjawab mereka seperti ditentukan oleh al Quran dan Sunnah rasul s.a.w.


Akibatnya, kegagalan ini menyebabkan berlaku terlalu banyak kepincangan dan masalah dalam masyarakat umat Islam di dunia termasuklah di Malaysia (dibincangkan selepas ini).


Hanya sanya dengan memahami ilmu FA ini dan melaksanakan tugas-tugas umat Islam ini mengikut urutan keutamaannya, barulah memungkin untuk umat Islam menjadi Umat Terbaik (Hairun Ummatin) seperti difirmankan oleh Allah dalam al Quran. 

November 09, 2009

DAKWAH SYEIKH DAKWAH

BERDAKWAH STYLE DR ASRI

Salam Kepada Semua Umat Islam Khususnya di Negeri Johor dan khususnya di Daerah Batu Pahat.

Tempohari seorang wanita berumur  sekitar 60 tahun ke atas yang meminati menambah ilmu agama menyatakan kepada saya bahawa beliau tertarik dengan pandangan atau teguran Dr. Asri mengenai usaha berdakwah oleh para ustaz/ustazah tapi berunsur perniagaan yang memberi pulangan lumayan.

Ya, benar. Tidak seperti dulu, kini agama telah menjadi produk yang laris. Permintaan pasaran kepada 'agama' tinggi dan membuka peluang dan ruang untuk para ulama dan ustaz membuat duit daripadanya.

November 01, 2009

BERKATA BENAR WALAU TIDAK DIBENAR


(Dituju khusus kepada Dr. Asri dan Golongan Yang Membantah Perlantikan Beliau Sebagai YDP YADIM)

Saya ingin menyatakan sedikit pandangan dalam perkara di atas. Pertimbangkan dan ‘Judge’ pandangan ini sebagai pandangan dari isi hati seorang awam (lay man) yang berminat mengambil tahu hal agama Islam dan isu-isu semasa mengenai Islam.

Bahtera Perubahan Dr Asri.
Membaca penulisan-penulisan Dr. Asri dan menilai pandangan-pandangannya dari masa ke semasa atas isu-isu umat dan agama Islam; terdapat perkara-perkara yang betul, yang saya setuju dan menyebelahinya. Saya percaya ramai golongan muda yang berminat memahami Islam, juga berpendapat demikian.

Saya suka idea-idea Dr. Asri mengenai perubahan. Bagi saya, jika ia suatu yang benar dan lebih baik atau menepati sunnah, lakukanlah, mengapa tidak. Islah atau tajdid, atas apa jua nama. Jika ia benar pada agama Islam, saya bersedia dan ramai golongan muda bersedia kepada perubahan. Kami bersedia menaiki bantera perubahan. Apa yang menghalang kita kepada perubahan yang lebih baik?

Maafkan saya jika tersilap dalam memahami. Tapi inilah saya, sebagai orang awam yang meminati perbahasan agama dan ingin meningkat kefahaman dan penghayatan agama Islam, saya amat suka dengan idea bahawa agama Islam ini dibina atas hujah dan dalil. Banyak pandangan beliau relevan dan baik yang didatangkan secara logik, berhujah dan berdalil antaranya:-

(1) Galakan bertanya soalan. Terdapat sebahagian ustaz atau pengajar agama yang tidak begitu menggalakkan pendengar/muridnya bertanyakan soalan atau menimbulkan pertanyaan. Mereka ini merujuk kisah agama atau memetik dalil dan nas secara tidak tepat lalu menimbulkan rasa kurang senang untuk pendengar menimbulkan persoalan atau ingin bertanya, seolah-olah ianya tidak beradab dan tidak disenangi pada agama Islam. Sebenarnya dengan tujuan ikhlas dan baik, bertanya soalan dan menimbulkan kemusykilan dengan tujuan untuk mendapatkan kefahaman agama sebenar dan mengelakkan kekeliruan pemahaman amatlah digalakkan. Seorang guru/penceramah/ ustaz tidak perlu risau terdapat soalan/isu pertanyaan yang ditakuti mencabar kemampuan mereka untuk menjawab? Sebaik-baik jawapan yang jujur .boleh sahaja “LA ADRI”.

Terdapat banyak nas, dalil dan authoriti yang menggalakannya. Sahabat sendiri pernah bertanya kepada Rasullullah samada ianya wahyu atau pandangan Rasulullah. Baginda Nabi s.a.w juga dengan sangat keras membantah orang-orang yang telah berfatwa di zamannya mengenai seorang lelaki yang terluka parah untuk mandi demi mengangkat hadas besar yang datang kepadanya tanpa mengira keadaan lukanya. Akibat fatwa itu, orang itu telah meninggal dunia. Baginda bersabda:- “Mereka (akibat fatwa itu) telah membunuhnya, biarlah Allah membunuh mereka…! Mengapa mereka tidak bertanya dahulu apabila mereka tidak mengerti, sesungguhnya ubat kebodohan itu adalah bertanya. Sesungguhnya orang tersebut (yang terluka) cukup dengan mengambil tayamum sahaja ( mengangkat hadas besarnya).”

Siapa yang tidak kenal pelajar bernama Madiah dari Kelantan yang berjaya mendapar 20A. Rujuk buku kejayaannya. Antara sikap positif beliau yang digambar oleh guru-gurunya ialah tersangat suka dan banyak bertanya, hatta soalan-soalan diluar skop pelajaran!


(2) amalan-malan sunnah. Saya suka jika dapat mengetahui kaifiat solat nabi berdasarkan hadis-hadis sahih. Saya suka diberitahu bahawa amalan-amalan tertentu adalah disahkan sebagai sebahagian amalan-amalan utama nabi, amalan-amalan lazim nabi atau amalan kekadang nabi. Saya juga jika dimaklumkan bahawa amalan-amalan tertentu ini bukan amalan utama nabi atau bukan amalan yang dapat dipastikan daripada nabi. Dengan ilmu ini, barulah senang untuk kita menyusun tingkat keutamaan kita dalam beramal seperti mengikut fiqh awlawwiyah. Bukankah ini perkara baik?

Saya juga mendapat ilmu dan kefahaman baru mengenai kedudukan beberapa perkara dalam amalan lazim umat Islam kita seperti isu amalan baca yasin pada malam nisfu syaaban, Isu kitab Majmuk Syarif, Qunut, solat hajat, qunut nazilah, kenduri tahlil malam sejurus selepas kebumikan jenazah, doa berjemaah lepas solat dan lain-lain. Secara peribadi saya suka dengan bertambah ilmu saya dalam hal ini. Saya seronok mengetahui perbahasan pada perkara-perkara itu. Ilmu ini tidak akan terbongkar tanpa adanya pihak yang membuat pemikiran yang menongkah arus. Apa salahnya saya mendapat ilmu dalam perkara ini? Dr Asri selalu mendatang hujah dan dalil. Ia sifat dai’ yang saya suka. Pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau harus pula mendatangkan hujah dan dalil.

Contoh dalam hal Kitab Majmuk Shariff. Dr Asri mengatakan ada masalah dengan kitab Majmuk Syarif. Saya telah dapat melihat hujah beliau dan, jika benar, baguslah untuk kita tidak membaca buku itu lagi. Hujah dan dalil dibawakan. Nampak meyakinkan.

Namun saya sendiri menyaksikan seorang ustaz yang berceramah/kuliah dalam surau mengaitkan Dr Asri dengan Wahabi dan mengatakan Dr Asri telah mempengaruhi pelajar Islam di luar negara. Ustaz itu tidak bersetuju dengan pandangan Dr. Asri dalam hal kitab Majmuk Syarif dan lain-lain isu bidaah. Tentu saya tidak berpuashati dengan ustaz ini kerana beliau langsung tidak mendatangkan hujah dan dalil atas isu-isu tersebut dalam dakwaaannya. Apa dia ingat kami ini nak terima begitu sahaja?

(3) Isu Ustaz Berniaga Produk. Saya juga menyebelahi beliau dalam tegurannya kepada sebahagian ustaz dan ustazah yang menjual produk-produk dalam proses ceramah dan kuliah. Saya tidak bersetuju dengan ustaz dan ustazah sampai mempromosi produk-produknya sehingga ketahap menggunakan dalil –dalil ayat Quran dan hadis …. yang kesimpulan dilihat untuk memberi kesan bagi melariskan produk itu. Ya kurma, buah tin adalah makanan sunnah. Tetapi apabila produk makanan kesihatan yang diadun dengan kurma dan buah tin, dikomersialkan dan dijual dengan harga agak tinggi. Kemudian … dikaitkan seolah-olah memakan produknya dengan berterusan….. diumpamakan ibarat melakukan sunnah nabi, mengenggam bara api, beriltizam dengan sunnah nabi di zaman yang sedang porak poranda ini… disamakan dengan sekian puluh orang mati syahid … atau pahala yang begitu besar … .. adalah suatu bentuk promosi yang keterlaluan dan melampau. Hati saya kecewa. Walaupun tidak disebut secara langsung kerana kebijaksaan olahan ustazah itu tetapi ia membawa arah maksud yang boleh difahami begitu. Selain itu ada pula ustaz yang mengatakan … bahawa produknya dihasilkan oleh tangan-tangan orang yang tidak membuat maksiat atau rajin beribadah …. Maaf mungkin berlaku ketidak tepatan …. Kata-kata yang digunakan tapi semak semula di radio IKIM di mana-mana iklan promosi ini ada dibuat.

(4) Isu Keluasan Fiqh. Saya juga suka pandangan Dr Asri dalam keluasan fiqh seperti dalam soal najis berkaitan anjing, sama ada tentang air liur, sentuhan basah, sentuhan kering dan sebagai. Ia memberi kemudahan mengetahui adanya pandangan berdalil yang lain bagi menyucikan dari najis berkaitan anjing yang sekaligus membebaskan hati dari kebimbangan yang tidak perlu.

(5) Isu Politik. Akhir sekali teguran Dr. Asri terhadap tulisan Ketua Penerangan Pas yang menegur Dr. Aziz Bari. Saya juga tidak dapat terima tulisan isi penulisan Ketua Penerangan itu. Tidak professional, tidak wajar datang dari peranan dan kedudukannya dan parti yang diwakilinya.

Isu Memorandum Bantahan Terhadap Dr Asri.

Kini, saya merujuk pula MEMORANDUM BANTAHAN TERHADAP PELANTIKAN DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN SEBAGAI YDP YADIM” –seperti disiarkan M Star. (“Memo itu”).

Terdapat beberapa fakta penting untuk kita perhatikan dari Memo itu, dan saya cuba meletakkan tafsiran munasabah.

(1) Memo itu diserahkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (“PGSM”).

(2)Memo itu ditandatangani oleh Presiden PGSM dan disokong oleh 13 NGO termasuk PGSM, Persatuan Pegawai-Pegawai Syariah Malaysia, MUAFAKAT, PGSM, Persatuan Peguam Muslim Malaysia, ABIM, ALKIS, JIM, Persatuan Ulamak Malaysia dan TERAS.

Tafsiran: Adalah suatu yang perlu diambilberat dan serius untuk difikirkan oleh Dr Asri dan mereka yang bersamanya dan masyarakat umat Islam bahawa PGSM sendiri menentang usaha perlantikan Dr Asri itu. 

Siapa PGSM? Ya, mereka adalah dari kalangan anak-anak orang Islam yang diijazahkan dengan sarjana muda (lazimnya) dalam bidang undang-undang syariah (dan sivil) kemudian menjadi peguam syariah (dan sebahagiannya juga merupakan peguam sivil). Berpengalaman dalam dunia bidang guaman yang sentiasa berkonflik (di Malaysia ini) namun melalui persatuan ini, kita diperlihatkan dengan iltizam dan istiqamah mereka dalam memperjuangkan dan memartabatkan Islam di bumi Malaysia. Inilah merit yang harus diletakkan pada PGSM. Namun wajarkah mereka mengambil tanggungjawab utama bagi penghasilan dan penyerahan Memo itu? 

Memo itu kemudiannya dikatakan disokong oleh 12 NGO yang sebahagian daripada NGO itu memang diketahui masyarakat akan reputasi mereka dalam memperjuangkan kebajikan umat Islam dan dalam memartabatkan Islam. Persoalannya, adakah kemugkinan banyak lagi NGO Islam sudi menyokong Memo itu?

Justeru, tentulah tidak baik bagi imej perjuangan Islam Dr. Asri dan sesuatu yang perlu difikirkan dengan serius oleh beliau apabila PGSM dan 12 NGO lain tersebut membantah perlantikannya bagi mengetuai suatu badan penting kerajaan dalam urusan dakwah Islam. 

Isu Alasan-Alasan dalam Memo itu 

Alasan-alasan kepada bantahan, dakwaan, tujuan, dan isi kandung Memo itu diringkas seperti berikut dan diberi penafsiran munsabah dan ulasan.

(1) Hanya beberapa NGO kecil sahaja yang dapat menerima idea bahtera perubahan yang cuba dibawa oleh Dr Asri yang seringkali tidak seiring pandangannya dengan sebahagian besar ulamak dan NGO-NGO Islam arus perdana.



Tafsiran:- Sudah tentu asas bantahan ini merujuk semula kepada siri percakapan, penulisan dan tindakan Dr. Asri selama ini. Antaranya kisah perselisihan pandangan dengan Mufti Perak tentang isu Murtad dan antara beliau dengan pengerusi Jakim dalam hal Blog Raja Petra. 

2 isu ini memang saya baca dalam media dan sebagai pembaca, saya mendapati ia menjadi suatu yang memburukkan imej mufti dan orang agama. Terdapat kata yang keras dan sindiran berlaku. Ini perlu diakui. 

Jika ia tidak tepat pun, ia telah menyebabkan wujud persepsi negatif di minda awam. (It is all about perception) Adakah Dr. Asri memberi pertimbangan sama ada Media yang mensensasikan (suatu isu itu) berlaku adil mengikut syarak dan berbuat demi kebaikan agama?

(2) Dr Asri yang terpengaruh dengan pandangan dan pendekatan ulamak tertentu juga seringkali bertentangan pandangan dengan para ulamak dan Mufti-Mufti negeri lain. Dalam berhadapan dengan perbezaan pendapat ini, Dr Asri telah mengambil pendekatan berkonfrantasi secara terbuka tanpa menitik beratkan soal adab dan kemaslahatan umat Islam keseluruhannya. Semasa menjawat jawatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis beliau kerapkali membelakangkan pandangan Jawatankuasa Mufti peringkat Kebangsaan dan sentiasa lari dari berdialog secara tertutup dan beradab, sebaliknya mencari populariti di media. Keadaan ini akan menyukarkan YADIM dan MAIM untuk bergerak sekiranya tiada hubungan erat dengan Mufti-Mufti.

Tafsiran:- Terdapat beberapa perkataan serius dan berat pada Memo ini dan saya berharap Presiden PGSM dan penyokong Memo itu telah bersedia dengan bukti dan keterangan. 

Pastinya peguam-peguam itu arif dalam hal ini. Tapi saya minta sangat PGSM senaraikan keterangan dan bukti dakwaan itu dalam blognya nanti? Jika benar dakwaan anda, berkata benarlah dan berterus teranglah, biarlah Dr Asri tahu, moga-moga menyedarkannya apa yang beliau telah tersilap. 

Sebenarnya saya agak kecewa dengan beberapa penggunaan perkataan atau ayat yang sepatutnya tidak sedemikian, memandangkan adanya penglibatan profesional. Memo ini telah menjadi khabar umum, bukankah lebih mendekati hikmah kiranya dikarang sebegini:-

Dr Asri yang terpengaruh (lebih sesuai -dipercayai lebih mengikuti dan menerima) pandangan dan pendekatan ulamak tertentu (sebutkan sahaja ulama mana) juga seringkali bertentangan pandangan dengan para ulamak dan Mufti-Mufti negeri lain (siapa ni, kalau dah kaji, sebutkan sahaja). 

Dalam berhadapan dengan perbezaan pendapat ini, Dr Asri telah mengambil pendekatan berkonfrantasi secara terbuka (melalui media-forum awam?) tanpa menitikberatkan soal adab dan kemaslahatan umat Islam keseluruhannya. 

Semasa menjawat jawatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis beliau kerapkali membelakangkan (apa maksudnya?-mengenepikan resolusi setelah dipersetujui) pandangan Jawatankuasa Mufti peringkat Kebangsaan dan sentiasa lari (selalu tidak hadir/menyertai) berdialog secara tertutup dan beradab, sebaliknya mencari populariti di media. (membolehkan atau membenarkan pandangan-pandangannya yang bertentangan disiarkan di media massa). 

Ulasan. Ya benar, peguam boleh berhujah dan dan mahkamah boleh manafsir dan memberi anggapan munasabah bahawa perlakuan dan tindakan Dr Asri (dalam memberi pandangan kepada media masa sehingga dilaporkan meluas sedangkan ia memberi kesan buruk kepada pandangan jawatankuasa fatwa) itu dianggap sebagai mencari populariti di media.

Namun pada syarak, bukankah niat Dr. Asri itu hanya dia dan Allah sahaja yang tahu. Masih ada ruang untuk ‘benefit of the doubt’ diberikan kepada Dr Asri dalam menentukan niatnya. Atas dasarkan inilah aduan atau dakwaan secara professional dan berhikmah perlu dilakukan supaya tidak menimbulkan prejudis dan dilihat tidak bona fide. 

Kami , orang awam boleh memberi anggapan pada perlakuan Dr. Asri dalam menilai hati beliau, namun menyebutnya begitu dalam Memo itu, mungkin kurang sesuai. Pun begitu, untuk Dr. Asri, saya hanya berkata tidak perlulah saman menyaman.


(3)Dr Asri mendakwa dirinya dan pengikut-pengikutnya sebagai ahlu-sunnah tetapi mereka menolak dan tidak mengiktiraf kebanyakan ulamak dan umat Islam lain yang di luar dari lingkungan pengikutnya. Beliau juga tidak mengkitiraf iktikad ahli sunnah wal jamaah dari mazhab-mazhab fiqh seperti Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali bahkan dalam keadaan tertentu menolak hadith yang diriwayat oleh Imam Bukhari.


(4) Pendekatan Dr Asri dan para pengikutnya telah mencetuskan berbagai perbalahan di kalangan umat Islam apabila mengkritik berbagai amalan umat Islam di Malaysia kononnya ia tidak mengikut sunnah seperti amalan membaca Yaa Sin pada malam Juma’at, amalan bertalqin, tahlil, doa selamat, solat hajat, wirid selepas solat. Beliau juga mencerca para ulamak besar seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali yang tidak perlu disebut kehebatan dan keilmuan mereka. Bahkan akibat dan malapetaka yang bakal timbul dari pendekatannya ini amatlah besar sebagaimana yang sedang berlaku di beberapa buah negara Islam. Malapetaka ini sewajarnya dibendung dan bukan disemarakkan lagi.

(5) Akibat dari pendekatan ekstrem Dr.Asri dan pengikutnya ini kebanyakan Majlis Agama IslamNegeri-negeri telah menyekat kegiatan pengajian yang dijalankan oleh mereka. Malah beberapa guru agama dan penceramah yang sealiran dengan mereka sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah Syariah kerana mengajar tanpa tauliah. Antaranya Dr. Abdullah Yasin yang menghadapi beberapa kes di negeri Selangor.

(6) Dr Asri hingga kini mempertikaikan undang-undang jenayah Syariah negara serta mentafsirkannya tidak mengikut peruntukan undang-undang dan hukum syarak yang diterima para Ulamak dan masyarakat Islam. Dengan melantik seorang yang berpandangan dan pendekatan seperti ini, ia akan melenyapkan keyakinan dan kepercayaan umat Islam bukan sahaja kepada YADIM malah kepada kerajaan keseluruhannya atas kegagalan memelihara ajaran dan amalan Islam yang dipegang selama ini.

(7) Pendekatan ekstrem Dr.Asri telah mengundang pelbagai akibat dan keresahan di kalangan umatIslam di seluruh Negara khususnya di negeri Perlis. Imam-imam di Perlis yang tidak mendokong aliran Dr Asri telah diketepikan malah baru-baru ini mereka telah ditukarkan atas alasan yang sama (beritaberita sebegini telah tersiar di dalam akhbar-akhbar utama negara). Cercaan beliau dan pengikutnya kepada amalan solat hajat kononnya ia satu bentuk maksiat dalam masjid telah mengundang perbalahandan beberapa kejadian pergaduhan.

(8) Tokoh-tokoh agama arus perdana termasuk semua para Mufti Negeri-negeri (kecuali Perlis) serta tokoh-tokoh seperti Prof.Datuk Dr.Ismail Ibrahim, Tan Sri Syeikh Ghazali Abd Rahman bekas Ketua Pengarah JKSM, Dato’ Hashim b.Yahya bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Nooh Gadot dan ramai lagi amat tidak senang dengan pendekatan dan pendirian sebegini.


(9) Dr Asri bukan sahaja ditolak oleh majoriti penyokong UMNO, malah beliau juga tidak disenangi oleh penyokong PAS yang merupakan 2 parti umat Islam terbesar.

Tafsiran : Beban Tanggujawab Yang Mendakwa
Alasan dan dakwaan pada Memo itu bahagian di atas ini semakin lebih serius. Ia menjurus kepada maruah agama dan risiko fitnah. Anda tentu boleh agak bahagian yang mana yang serius itu.

Ulasan saya samalah jua seperti tadi. Namun penegasan saya ialah, Yang mendakwa, kini perlu membukti, dengan segera. Saya sebenarnya musykil dengan keberanian Presiden PGMS sama ada bagi pihak dirinya atau mewakili pihak PGMS. Adakah semua jawatankuasa PGMS telah bersyura sebelum Presiden mereka menandatanganinya? 

Sebagai seorang peguam saya tertanya sama ada Presiden itu telah mempunyai semua fakta dan bukti kerana berani mengambil tanggungjawab menandantangani Memo itu. Saya tak fikir Peguam itu mempunyai semua maklumat atas dakwaan itu, atas bidang kerjanya, melainkan ianya jika benar, dari hasil maklumat pihak lain. 

Jangan pula beliau dijadikan orang yang ditolak kedepan oleh orang lain-orang yang mendakwa mempunyai bukti tanpa dinilai satu persatu bukti yang menyokong setiap dakwaan itu. Adakah pihak 12 NGO itu telah menyokong dalam bentuk berdokumen dengan ditandatangani semua pengerusi/presidennya? 

Terdapat dakwaan yang sungguh serius yang jika tak benar ia menjadi Fitnah yang besar! (Rujuk para 3,4 dan 7 di atas). Ingat, reputasi dan maruah PGMS kini dalam risiko.

Pertimbangan Untuk Dr Asri

Sementara menunggu keterangan dan pembuktian, mengenepikan dulu isu kebenaran dakwaan itu. saranan saya kepada Dr. Asri, fikirkanlah kenapa begitu sekali dakwaan mereka kepada anda? Itulah pemikiran dan persepsi yang telah wujud selama ini pada sebahagian masyarakat dan mereka-mereka yang juga dilihat bijak dan mencintai Islam. 

Saya percaya Dr. Asri seorang berkeyakinan tinggi dalam kebenaran perjuangannya. Tentu jika beliau bertindak balas, pasti akan berlaku pertembungan yang hebat. Apabila berlaku pertembungan yang tidak diingini, lantas siapa yang sebenarnya kelak menjadi korban?

Namun mungkin sudah sampai masa Dr Asri menilai semula ISI perjuangannya dan PENDEKATAN perjuangannya? Perhatikan perkara ini:-


(1) Dr Asri mengatakan bahawa beliau adalah ikhlas dalam perjuangan agama Islam dan dakwahnya dan tidak mencari populariti. Tetapi jelas, beliau kini telah popular. Popular yang jelas ialah popular di media masa. Beliau diberi ruang dalam akhbar, tv dan lain-lain media. Percakapan dan tindakannya telah menyebabkan beliau popular atau dipopular oleh media. Kesan popular dimedia masa ini membolehkan beliau popular dikalangan segolongan masyarakat? Tapi setakat mana?

Samada popular itu selari dengan kebenaran adalah suatu isu. Samada popular itu memberi kebaikan kepada Islam dan umat Islam, ia juga satu persoalan? Namun nyatanya kini ia menjadi pertikaian.


(2) Dr. Asri harus bertanyakan juga dan semula kepada dirinya sendiri sama ada isi perjuangan dan pendekatan yang digunakan (khusus merujuk kepada isu-isu yang menjadi perselisihan) telah memberikan lebih kebaikan kepada umat Islam di Malaysia atau telah menyebabkan lebih mafsadah dan keburukan kepada umat Islam.


(3) Dr. Asri harus bertanyakan juga dan semula kepada dirinya sendiri sama ada beberapa isu-isu yang dibezakan pandangan secara tegas (khusus merujuk kepada isu-isu berkaitan antara sunnah dan bidaah) menjadi punca yang menimbulkan kekeliruan dan masalah seperti yang berlaku sekarang sedangkan masih banyak isu utama yang perlu diperjuangkan. (Sila rujuk tulisan Azizi Abdullah dalam Siasah satu ketika dahulu).


(4) Saya juga keliru dengan beberapa pandangan dalam hal intipan kes khalwat, kes sumpah mubahalah, dan terbaru dalam kes Kartika. Di sinilah saya rasa berlaku pergeseran dengan mereka dalam bidang guaman syariah. 

Saya cuba memahami pandangan beliau dalam hal kes sebat Kartika. Namun ikhlas, secara peribadi, saya tidak berpuashati kerana tidak dapat melihat apa kesimpulan pandangan dan cadangan praktikal beliau dalam menyelesaikan kes Kartika. Ia seperti nampak menyokong tapi seperti nampak tak menyokong pula. Mungkin saya yang gagal memahaminya.


(4) Dr Asri kerap memberi pandangan yang berbeza dan menentang arus. Beliau percaya pandangannya benar dan mungkin, jika tak diterima sekarang, mungkin suatu ketika nanti. (Seperti rujukan beliau mengenai hal yang sama pernah berlaku seperti kepada ulama Ibn Tammiyah dan Prof. Dr. Hamka). 

Namun pada pemikiran munasabah, ia adalah suatu yang diketahui bahawa untuk seseorang itu mempopularkan dirinya, sudah tentu salah satu kaedahnya mengeluarkan pandangan yang berbeza dan kontroversi. Lagi kontroversi lagi sensasi. Dan siapa penyebar utama kalau bukan media massa. 

Namun apakah semestinya pandangan yang kontroversi dan menentang arus itu akan terbukti benar dan diterima disuatu ketika nanti. Ya boleh jadi begitu, boleh jadi juga tidak. Boleh jadi pandangan yang kontroversi itu memang akan dikenang sebagai pandangan yang silap sepanjang zaman. Boleh jadi,kan. 

Kalau dulu Prof Hamka ditutup atau dihadkan ruang untuk cuba membela dirinya. Dr Asri pula mempunyai ruang yang besar bagi membela dirinya.


(5) Terdapat beberapa pandangan Dr Asri yang yang mana banyak ilmuan agama yang lain tidak sependapat dan mereka merasa gusar bahawa pandangan Dr Asri boleh menyebabkan kekeliruan dalam masyarakat. Antara isu yang menyentak masyarakat ialah Isu Intipan Khalwat dahulu. Tidak nampak pula, ilmuan-ilmuan ini memberi tekanan kepada Dr. Asri.
Sebaliknya, mungkin berbeza dengan Prof Hamka atau Ulama tertentu dahulu, Dr Asri diberi ruang yang cukup dalam media masa arus perdana hingga timbul angggapan bahawa pandangannya serasi dengan kehendak pemerintah dan penguasa media.




(6) Perrselisihan Pendokong Sunnah @ Wahabi dengan Pendokong Mazhab Shafie? Bidaah.


Seperti dilapor oleh Malaysiakini, Di Malaysia, khususnya di semenanjung Malaysia, bagi tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, kelihatan seperti ada rasa kurang senang di kalangan majoriti umat Islam atas kepercayaan mereka bahawa wujudnya usaha untuk memperluaskan fahaman 'Sunnah Perlis' atau 'Salafi' yang pada masyarakat umum, dikenali sebagai Wahabi. Walaupun negeri-negeri di Malaysia mengamalkan Mazhab Syafie dalam pengamalan fekah masing-masing, tetapi Perlis merupakan satu-satunya negeri yang tidak terikat dengan mana-mana mazhab, sebaliknya menggunapakai hujah yang terkuat daripada keempat-empat mazhab utama bagi mengeluarkan sesuatu hukum.


Perdebatan agama sentiasa tercetus di negeri itu ekoran terdapat fatwa dan pengamalan fekah yang berbeza diamalkan dalam fahaman 'Sunnah Perlis; antaranya seperti melaungkan azan hanya sekali untuk solat Jumaat, tidak membaca talqin untuk jenazah, tidak membaca doa qunut dalam solat Subuh, manakala bacaan bismillah sebelum bacaan al-Fatihah dalam solat, dibaca secara perlahan, berbanding yang diamalkan dalam Mazhab Shafie.


Menurut sumber, fahaman 'Sunnah Perlis' atau 'Salafi' itu mula digiatkan kembali apabila Dr Mohd Asri Zainul Abidin menjadi mufti Perlis. Difahamkan juga, beberapa tokoh dalam majlis agama negeri itu dan NGO - Institut Sunnah Perlis- dikaitkan sebagai usaha menggiatkan pengembangan fahaman tersebut.Di segi sejarahnya, aliran Wahabi diasaskan oleh Muhamad Abdul Wahab di Arab Saudi pada 1701 dan popular di Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Somalia, Algeria, Palestin dan Mauritania. Bagaimanapun, Dr Mohd Asri Zainul Abidin (“Dr. Asri”) berkata beliau tidak pernah mendokong fahaman Wahabi seperti tanggapan umum terhadapnya selama ini. (Malaysiakini)


Ulasan. Agaknya inilah yang digusarkan mereka yang tidak menyetujui dengan pemikiran, perjuangan yang didakwa di bawa oleh Dr Asri.


Hakikatnya apabila pendokong Sunnah Perlis atau Salafi (mengikut dakwaan kumpulan ini tetapi dianggap sebagai pendokong Wahabi (mengikut dakwaan penentangnya) membicarakan isu bidaah dan merujuk kepada beberapa contoh amalan dalam masyarakat Islam kita yang majoriti masyarakat kita telah mengamalkan dan mempercayainya sebagai amalan yang dibenarkan dalam mazhab syafie dan tidak bidaah, maka berlakulah perselisihan dan ia pernah pada satu kedudukan menjadi agak serius dan kesannya membingungkan atau memecah belahkan masyarakat Umat Islam.


Bayangkanlah! apabila 2 kumpulan ustaz dari dua aliran kefahaman berbeza ‘bertempur’ apakah kesannya kepada orang-orang awam dan masyarakat umum Islam? Bagaimana pula dikatakan ada sebahagian ustaz-ustaz dari 2 kumpulan ini mengunakan ‘senjata berat’ (bersikap keras dan melampau) dalam pertempuran itu? (Terdapat banyak blog yang membicarakan isu ini. Sebahagiannya begitu keras. Kita dapat melihat perseteruan serius dan tegang di antara mereka. Hujah dan autoriti memang dilihat hebat tetapi kebenarannya bolehkan diketahui orang awam. Saya tidak bercadang untuk menamakan blog-blog atau laman-laman web itu, namun ia tak sukar dicari.)




Lantas siapa pula korbannya, jika bukan umat Islam? Jangan sampai timbul pula kumpulan ‘khawarij moden’ yang bosan dengan perselisihan ini lalu meninggalkan agama dengan menyalahkan keduanya. Adakah tiada jalan menghormanikan antara keduanya?


Saya tidak bercadang membicara secara panjang atas limitasi ruang. Cukup sekadar isu ini di utarakan untuk difikirkan (bagi perbincangan lanjut).


Cuma terdapat satu perkara penting yang ditagih daripada kedua kempulan ini iaitu berhujahlah secara adil dan tulus dan menyerahkan kepada umat Islam untuk menilaikannya. Ini kerana lazimnya pendokong suatu aliran akan membentangkan sekadar hujah-hujah, rujukan ulama-ulama terdahulu, sandaran dalil dan nas serta authoriti yang menyokong pandangannya sahaja tanpa mendedahkan secara adil terdapatnya hujah-hujah, rujukan ulama-ulama terdahulu, sandaran dalil dan nas serta authoriti yang tidak menyokong atau tidak bersetuju dengan pandangan mereka dalam sesuatu isu.


Sebagai contoh, terdapat banyak amalan di Malaysia yang di‘isu’kan sebagai bidaah atau tak sunnah atau tak baik atau tak sesuai dilakukan menurut dakwaan golongan satu pihak dan apabila kita menelitinya kita merasa tertarik dan hampir membenarkan pandangan mereka namun tidak lama kemudiannya kita diberitahu bahawa isu-isu yang dibangkitkan itu telah ada dijawab dengan begitu baik oleh ulama tertentu yang dengan hujah dan dalil hujah yang menyakinkan, menjadikan kita kemudiannya meyakini bahawa apa yang di‘isu’kan sebagai bidaah tidaklah suatu bidaah (yang sesat lagi dilarang) (Rujuk buku Kefahaman Yang Wajib diperbetulkan oleh Prof Dr Sayyid Muhammad Ibn Alawi Al Maliki Al Makki Al Hasani). 


Sehingga perkara ini ditanggani secara adil, orang awam khususnya dari kalangan individu yang berminat megambil tahu dalam perkara ini hendaklah bersikap lapang dada dengan tidak bersikap ‘judgemental’ sebaliknya ‘reserve’ keputusan atau tindakan sehinggalah dapat meneliti kedua pandangan dan hujah yang berbeza secara memuaskan.


Apalagi dalam era kontemporari dan berdasarkan fiqh awlawwiyah, kita mempunyai banyak lagi tugas utama yang masih belum dilaksanakan, maaf, sebenarnya belum dimulakan.
Namun sekiranya amalan-amalan yang menjadi isu sememang ada khilaf dan masih boleh dilakukan, (bukan bidaah sesat) mungkin sudah sampai masanya pihak dimaklumi berlapang dada dan biarkan sahaja. 

Bukankah wajar kita fokuskan perjuangan kita dalam isu-isu (1) dakwah kepada bukan muslim (2) dakwah kepada umat Islam supaya berkualiti (3) Isu Arak, Judi dan Dadah (4) Keruntuhan akhlak generasi muda (5) mendaulatkan perundangan Allah (6) Isu Ekonomi dan kemiskinan umat Islam.


Juga perjuangan dalam merobah perkara-perkara mungkar dalam negara ini, seperti (1) Isu Rasuah (2) penyelewengan kuasa (3) Isu seleweng atau kecuaian atau kelemahan pengurusan harta, dana dan kazanah negara (9) Isu kezaliman kepada rakyat dan banyak lagi. 

Kemungkaran-kemungkaran ini tidak boleh didiamkan lagi melainkan mesti ditentang dan dirobah. Kepada orang yang berdiam diri, Dr. Qardhawi mengingatkan kita mengenai surah al-Maidah 78-79 yang ertinya : “telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israel dengan lisan Daud dan Isa Putera Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat, sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu”.


Rasulullah juga telah bersabda: “Barangsiapa diantara kalian yang melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah dia merubah dengan tangannya. Jika tidak mampu, hendaklah dengan lidahnya. Jika tidak mampu hendaklah dengan hatinya, namun yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.”


Menurut Dr. Qardhawi lagi, salah besar jika ada anggapan bahawa pengertian kemungkaran itu adalah berkisar kepada masalah zina, minum khamar atau hal lain-lain yang semakna dengannya. Ia lebih luas daripada itu. Mengabaikan kehormatan rakyat merupakan kemungkaran yang amat mungkar. Memanipulasi hasil pilihanraya, menyerahkan urusan kepada orang yang bukan ahlinya, mencuri kekayaan milik rakyat, menyeksa manusia di penjara dan tahanan, menyerah wang rasuah, menerima dan menghantarnya, menzalimi manusia dengan cara jahat tanpa melalui prosedur mahkamah yang adil adalah antara yang merupakan kemungkaran-kemungkaran yang amat mungkar.




(7) Suka atau tidak, kini telah terbukti timbul isu kekeliruan, ketidakpuashatian dan pecah belah di kalangan masyakat umat Islam sehingga melibatkan bukan sahaja dalam lingkungan ulama dan ahli agama tetapi merebak kepda beberapa NGO yang dilihat professional dan berekod baik selama ini seperti PGMS, JIM dan ABIM. Dr Asri tidak dapat menafikan bahawa keadaan yang sedemikian itu mempunyai kaitan dengan dirinya. 

Bagi saya jika Dr Asri memfokuskan idea-idea hebatnya untuk implementasi dalam perjuangan dakwah kepada bukan Islam dan dakwah dalam menyelamatkan akidah dan akhlak umat Islam khususnya dari gejala keruntuhan akhlak anak melayu melibatkan dadah, arak, ganja, rempit, bohsia, bohjan, metal, underground, skinhead, pengkid, tinggal solat, durhaka, seks bebas dan sebagainya, saya menyokong penuh beliau menduduki kerusi YDP YADIM.


(8) Popular. Biar apapun beliau katakan dan biar apapun orang lain katakan, Dr Asri sebenarnya telah berjaya dan menjadi antara yang berpengaruh dan popular dalam urusan agama dan umat Islam di Malaysia. Kini popular dan pengaruhnya semakin maju ke depan. 

Persoalan besar yang perlu beliau sendiri fikirkan ialah sama ada populariti dan pengaruhnya memberi kebaikan kepada agama dan Umat Islam di bumi Malaysia ini? 

Untuk golongan yang tidak sebulu dengan beliau, adakah pihak tuan telah bertindak adil dalam tindakan ……. terhadap Dr Asri.

Saya harap mereka tidak mengiystiharkan 'perang' terhadap Dr Asri  kerana ia menjadikan Dr Asri sebagai hero dan akan lebih popular dengan sokongan media masa. 
 

Saya mengharap ada usaha-usaha untuk mengharmonikan perbezaan atau perselisihan yang kini menjurus ke aras perseteruan. Tidak bolehkah menumpukan kepada persamaan dalam perjuangan dan mengenepikan perbezaan. Bukankah semuanya berjuang untuk Islam demi mencari keredaan Allah. Wallahu taala ‘alam.


To be continued….

SEBARKAN -SEBARKAN


Pemberitahuan Umum
(Suatu Program Dakwah Tanpa Unsur Perniagaan
Dan Tanpa Objektif Keuntungan)

Kursus Solat Sempurna di Batu Pahat
”Penghayatan & Praktikal Solat & Solat Jemaah”
(Merujuk Solat Nabi)

Sabtu 5/12/2009 Masjid Sultan Ismail
Kos Hanya RM10-00  & RM20 seorang
(Termurah di pasaran)

Terbuka Kepada Semua Umat Islam
8.00 pagi hingga 6.30 petang
(3 kali makan- pagi tengahari & petang ,
penyegar, fail, modul dan beberapa keperluan )

Pembimbing/Motivator : Ustaz Haji Muhammad Sobri Omar
(Penceramah/Imam : Highly Recommended)
(Penceramah dlm Channel 9 –Tanyalah Ustaz)
Anjuran Surau Kemajuan BP dan kumpulan IMBP
Tel: 019 72 72 817

Tertakluk kepada terma dan syarat dan perubahan oleh penganjur dan penceramah