Nasyid

November 18, 2010

PANDANGAN YANG TIDAK ADIL?

Saya adalah penggemar idea-idea  ‘sunnah’ Dr. Asri. Banyak ilmunya  mengenai amalan sunnah dan teguran-teguran kepada pengurusan pejabat agama,  bahagian zakat dan lain-lain sangat dekat dengan jiwa saya. Saya percaya ramai golongan muda berada pada pihaknya. Seakan-akan beliau mewakili suara ‘muda’ yang menyuarakan rintihan mendambakan Islam yang original daripada rasulullah sallallahi alaihi wasalam dan yang tidak dapat mengelak dari merasa meluat dengan kualiti pengurusan dan perkhidmatan agama di negara ini.

Namun pandangan saya terhadap pandangan Dr Asri agar DSAI berhenti; adalah pandangan yang tidak wajar dan keterlaluan, tidak diperlukan pada masa ini. Ya benar, itu pendapatnya. Pendapatnya. Dia berhak kepada pendapatnya. Ini pula  pendapat saya terhadap pendapatnya.  

Saya sama sekali bukan ahli PKR atau penyokong Anwar. Namun saya mengakui kewibaannya dan nilai pengalaman deritanya selama dianiaya dan dipenjarakan dan kekukuhan jiwanya dengan terus  berjuang.

Dr. Asri mengakui bahawa dia risau kesan atas pandangannya. Anggapannya ialah Dr. Asri membayangkan kesan buruk yang boleh dijangka. Tetapi hairannya, ia tetap diteruskan. Saya memerhatikan kepada hujah dan asas kepada pandangannya. Saya dapati ia suatu pandangan yang tidak diasaskan kepada alasan yang sedikit dan kelihatan tidak bersungguh-sungguh kerana itu pada saya ia tidak begitu bermerit. Namun kerana ia dari Dr. Asri maka ia menarik perhatian ramai.


Banyak pihak telah menjawab dan mengulaskan tentangan mereka kepada alasan kepada pandangan Dr Asri. Sekalipun mereka itu mungkin orang kuat DSAI, saya dapati hujah mereka sangat bermerit.

Saya tidak pertikaikan apa jua niat Dr Asri. Ikhlas katanya. Beliau sahaja manusia yang tahu. Kekecewaan saya ialah apa sebenarnya manfaat yang cuba diraih daripada pandangannya. Kebingungan saya pula iala apa ‘sunnah’ yang cuba ditonjolkan? 

Beginilah ringkasnya:-

(1)Dr Asri mengharapkan orang berbaik sangka dengan (niat) pandangannya tetapi dia juga seperti telah menduga orang akan buruk sangka. Saya ada membaca penulisan ustaz Zaharuddin akan kisah nabi yang memberi pengajaran agar jangan membuat sesuatu yang menyebabkan orang buruk sangka kepada kita. (Kisah nabi sallallahi alaihi wasalam berjalan bersama salah seorang isteri baginda dalam keadaan suasana gelap dimana seorang sahabat ternampak dan sedikit tertanya (curiga?) lalu nabi segera menegurnya dan memberitahu bahawa perempuan itu adalah isteri baginda. …. Rasanya ramai dah tahu cerita ini.

(2) Dalam politik, “Its all about perpesctive”. Pandangan Dr Asri adalah dari Perspektif dia. Bagaimana perspektif orang lain terhadap pandangan dia? Pandangan sebegitu ditakuti akan menjemput rasa buruk sangka oleh ramai orang. Namun saya tidak buruk sangka. Saya tidak bersetuju kerana merasakan ia tidak adil.

(3) Pandangan Dr Asri ikhlas. Tiada keperluan untuk pertikaikan. Tapi ia pandangan ‘berbau’ politik. Ia sangat terdedah kepada pelbagai perspektif pandangan dan penerimaan orang lain. Jika dasar alasannya tidak kuat atau alasan yang menafikannya sama kuat, atau banyak andaian pro dan kontranya atau kerana ia sangat dirasakan tidak wajar datang dari tokoh agama pejuang  sunnah, maka kesan negatif pasti berlaku dan telah berlaku.

(4) Sebagai seorang pencinta sunnah, saya kecewa kerana nasihat pengunduran DSAI itu suatu yang saya tidak nampak ‘sunnah’ nya, bahkan saya melihat mafsadahnya mengatasi maslahahnya. Entahlah. Alasan Dr Asri walau ada kebenaran (hanya satu aspek) tetapi tidak mewajarkan tujuan padangannya (aspek yang lain).   

Inilah antara perspektif prejudis atau prasangka buruk yang boleh timbul :-

(1) Tentu kita percaya orang sebijak Dr Asri akan menjangkakan pihak yang tidak suka atau mahu menumbangkan DSAI akan menggunakan ‘kaw-kaw’ pandangannya. Mungkin ditambah ‘sos cili’, akan menjadikan ‘pedas dan panas’ lagi. Tambah ‘meriah’ jika pihak yang menikmati manfaat dari pandangan Dr Asri ialah pihak yang menguasai segala macam media utama negara. Di satu pihak lain pula, yakni yang di sebelah DSAI merasa amat kecewa dan tidak bersetuju lalu mereka menyuarakan tentangan mereka. Mungkin sebahagian mereka berprasangka buruk, marah atau sangat marah. Ada yang ingin meluahkan secara keras namun tidak sampai kepada penghabaran ramai kerana tidak dilaporkan.
  
(2) Dalam pada itu sebahagian rakyat kecil mungkin tidak bersetuju dengan pandangan Dr Asri atas sebab merasa pandangan itu tidak adil dan saya salah seorang yang terpanggil untuk menyuarakannya.  

(3) Pihak yang mengatakan bahawa ia menyatakan sesuatu pandangan itu secara ikhlas bukan mewakili kepentingan sesiapa dan dia tidak dipergunakan. Namun bukankah pihak yang  merasa untung dan mendapat manfaat akan sentiasa boleh memberi ganjaran…. Manfaat boleh secara langsung … dan boleh datang secara tidak langsung… Jika ia tidak memberi manfaat pasti akhbar arus perdana tidak terkinja memaparkannya.

(4) Telah diketahui ramai, sebahagian mereka yang dipercayai dari golongan sunnah telah menyertai ulama muda UMNO, lalu kemana fikiran politik boleh membayangkan…  kekaitan hubungan dan manfaat…

(5) DSAI dan PKR sedang diuji dari segala sudut tetapi perlu ingat, pihak mana yang paling sentiasa mengasak ujian tersebut… dalam keadaan menguasai segala bentuk kemudahan, kewangan dan penyebaran maklumat…   adil dalam persaingan??

(6) DSAI telah menghadapi dakwaan kes l*wat buat kali ke2. Saya merasakan sudah terlalu ramai orang mulai merasa curiga kejujuran DSAI. Saya mendengar sendiri perbualan antara kakitangan suatu pejabat sambil membelek akhbar Metro… Itulah perspektif manusia. Saya juga pernah menyaksikan sendiri seorang pensyarah memburuk DSAI dalam hal ini. Saya hanya mahu bersikap adil. Saya diajar oleh ilmuan agama dan orang seperti DR Asri dan saya yakin dengan ilmu saya bahawa dalam hal hukum syarak, dakwaan kes liwat ini pasti gugur tanpa saksi-saksi langsung.  Sebaliknya , yang patut berjalan, ialah kes qazaf. Tidak perlu lah dibicarakan dari sudut kepeningan dalam kes ini dari sudut sivil. Bacalah sendiri. Saya juga jelas faham dengan hikmah dan kelebihan kenapa Allah Yang Maha Adil dan Bijaksana menetapkan kedudukan bukti sebegitu ketat. Kes ini sekadar menyerlahkan lagi kepatutan hukum dan undang-undang Allah. Masya Allah dasyatnya keaiban yang diserlah daripada kes ini apalagi yang tertanggung pada tuan punya badan… Mereka yang jahil agama atau bermotif lain mungkin melihat keadilan dari sudut berbeza atau memperlekehkannya … Namun saya merasa lega dan selamat dengan keyakinan pemahaman saya apabila saya membaca ulasan Dr Yusuf Qardawi dalam kes ini.  Perspektif umum terhadap kes ini ialah ada kekaitan dengan politik. Lalu fahamlah apa maksud saya.

(7) Kepada sebahagian masyarakat, impak yang dibawa DSAI masih besar dan masih relevan. DSAI masih dilihat satu-satu watak yang mampu mewakili 3 parti dari pihak yang sedang menyaingi pihak pemerintah. Belum ada pengganti dari PKR yang dilihat boleh ambilalih peranan yang sebegitu besar, pastinya tidak sekarang. Tidak semasa pandangan Dr. Asri dibuat. DSAI belum lagi menjadi ‘dinasour’ untuk dipupuskan.

(8) DSAI telah membuktikan kerelevannya pada PRU yang lepas. Ingat lagi tsunami yang berlaku. Saya tadi terpegun melihat jadual kuliah di suatu surau di Selangor yang sebahagiannya oleh tokoh agama yang sekian lama telah dipinggirkan (ingat telah dipupuskan). Tajuk kuliah agamanya merujuk kepada kitab bukannya politik. Kebebasan dalam menyampai ilmu agama sebegini tanpa ‘gam’ atau sekatan tauliah adalah suatu nikmat. Dr. tentu lebih mengerti.  Bagaimana Dr Asri tergamak menyuara keluar pandangannya itu sedang PRU yang makin menghampiri  adalah waktu ujian sebenar bagi membuktikan kerelevanan DSAI. Sabar sat lah simpan dulu pandangan itu. Sabak sat…

(9)  Sekadar berpandukan kekecohan yang berlaku dalam parti…  biasalah … itu tanda rasa bahang kuasa sedang menguji mereka. Biarlah PKR urus sendiri ‘proses penapisan dan penyulingan’. Sekalipun ada yang membuat tentangan dalaman….  Ia suatu ujian untuk DSAI menyelesaikan masalah dalaman partinya. Adalah pelik untuk seorang tokoh agama yang mendakwa neutral untuk memberi pandangan agar pemimpin utama satu parti … berundur. 

(10)              PKR adalah rakan baiah PAS. Dr Asri sendiri menghadiri majlis perhimpunan mereka, apa tah… lupa saya, yang mana kelilingnya penuh dengan orang berbaju, bersongkok dan berjubah serba putih yang dipercayai mencintai Islam dengan cara dan wadah yang mereka yakini benar. Tidakkah mereka ini nampak lebih berusaha ke arah reda Allah dari pihak yang lain? 

(11)              Padang Persaingan yang DSAI  hadapi adakah adil? Mungkin kita kata kita bersifat neutral,  kadangkala kita sentuh sini sikit, sana sikit tetapi ukur juga kesannya. Disebabkan kerana sentuh sini, manfaat sikit, tapi kerana pasaran persaingan yg tidak adil…. mudaratnya sangat buruk. Berbeza sangat sebaliknya bagi pihak yang satu lagi. Ukurlah berdasarkan ukuran awlawwiyah… ukurlah juga dengan ukuran ketidakadilan pasaran media. Banyak sangat keburukan besar yang berlaku dalam negara ini pada pihak yang memegang kuasa, yang lebih utama untuk diketengahkan… yang memerlukan sentuhan sunnah.. yang walaupun ia ada dilakukan, ia jauh dari mencukupi …   

(12)              Saya ingin menjadi pencintai sunnah nabi… pencintai Islam… saya suka banyak tafsiran Dr Asri dalam memahami sunnah nabi. Namun ada juga yang saya masih belum dapat bersetuju (mungkin belum mengetahui hujah penuh) namun saya mendiamkan dulu. Cuma kali ini saya merayu untuk menyatakan ketidaksetujuan dan kekecewaan saya dengan pandangan beliau.

(13)              Maafkan saya Dr. Asri. Saya tidak dapat memahami sifat ‘sunnah’ dari pandangan itu, saya tidak nampak sifat ‘awlawiyah’ pandangan itu dan saya mendapati mafsadahnya melebihi maslahahnya- sekurang-kurangnya dari perspektif keadilan.

(14)              Percayalah saya tak suka untuk berbeza pandangan dengan tokoh seperti Dr Asri. Namun kali ini izinkan saya. Sebagai muslim, saya memohon maaf agar ukhwah terus terpelihara. 

No comments:

Post a Comment